Saturday, August 31, 2013

[Travelog] Kisah 5 buku

Nukilanku satu masa dulu. Moga mampu beri saham buatku di akhirat kelak...
[Based on a true story] :)
Bismillahirrahmanirrahim

--------------------------------------------------------------------------

4.45 petang. Sudah kesekian kalinya pandanganku jatuh pada jarum jam di dinding makmal pharmaceutics ataupun ‘super lab’ itu. Letih. Ya, aku sudah keletihan dengan kelas hari ini. Tambahan pula hari ini merupakan hari cuti am di Perth, maka aku terpaksa berjalan dari rumahku untuk ke universiti. Perjalanan yang selalunya mengambil masa selama 7 minit dengan bas menjadi setengah jam. Allah, berikan aku kekuatan!

“I guess all of you here really wish to end this class early,” bicara Andrew, si tutor, sambil tersengih melihat wajah-wajah kami yang jelas kelihatan tersiksa dengan saat-saat terakhir.

“Yessss!” balas beberapa orang rakan sekelasku dengan nada mendatar. Kami semua tertawa. Ternyata bukan aku seorang sahaja yang keletihan hari ini.

“Okay, I guess, that’s all for today!” ujar Andrew sambil tersenyum. Kelas yang senyap sunyi bertukar menjadi hingar dengan sekelip mata. Yang tadinya hampir terlelap telah kembali segar, yang tadinya diam seribu bahasa kini riuh dengan kisahnya. Ajaib. Adakah ini cuma berlaku di sini? Magis apakah ini? Aku tersenyum sendiri.

Indah sungguh perancangan ilahi, aku dihantar pulang oleh seorang sahabat, Xin Li. Maka tidak perlulah aku berjalan kaki untuk pulang. Pertemuan dengan Xin Li juga tidak disangka-sangka.

“Here it is Syazleen, I don’t want to throw any religious thing away. It’s not appropriate,” ujar Xin Li sambil menunjukkan padaku sekeping kad tersisip kemas di bahagian cermin di atas tempat duduk pemandu.

Xin Li, sahabatku dari Malaysia. Kebetulan dia baru sahaja membeli kereta dari seorang lelaki muslim. Namun, lelaki tersebut telah meninggalkan sesuatu dengan tulisan-tulisan yang tidak difahami Xin Li. Syukur kerana Xin Li tidak berniat untuk membuang tulisan itu, sebaliknya meminta aku untuk menyimpannya. Ianya ternyata sebuah kad kecil, tertulis kalimah-kalimah yang sangat-sangat aku kenali.

Asmaul husna.

“What is that Syazleen? Do you understand what it says?” ujar Xin Li ingin tahu.

“Well, do you know that we muslims call our god Allah?” Xin Li mengangguk.

“In Islam, we also have 99 different names with 99 different meaning to address Him and some of the names are written on this card,”

“Oh, I don’t know that. Lucky I did not throw it away,”

“Thank you Xin Li,” ujarku ikhlas sambil melemparkan senyuman buatnya. Aku tatap kad kecil itu. Ralit aku sebentar dengan tulisan di atasnya. Unik.

‘Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Razzaq,’ tuturku sendirian di dalam hati. Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang , Maha Pemberi Rezqi.
_______________________________________________________

“Assalamualaikum,” ujarku seraya membuka pintu bilikku. Sudah menjadi kebiasaan, aku selalu memberi salam sebelum memasuki bilik meskipun kutahu tiada siapa di dalamnya. Kad kecil pemberian Xin Li ku sisipkan di cermin solek. Tanpa berfikir dua kali aku lontarkan badanku yang keletihan di atas katil yang empuk lagi sejuk itu. Alhamdulillah. Bahagia. Aku memejamkan mata, meskipun badanku sedang berehat namun mindaku masih bergerak laju. Merancang aktiviti pada malam ini. Perlu siapkan Powerpoint untuk pembentangan hari Khamis nanti, perlu masak makan malam, perlu muat turun nota-nota dari ‘Blackboard’ dan…

Mataku yang terpejam kini kembali terbuka luas. Aku bingkas dari keempukan selimut dan katil dan mencari 5 buah buku itu. Ya. 5 buah buku!

‘Ya Allah, aku terlupa!’ jeritku kecil.

5 buah buku yang kupinjam dari perpustakaan sebulan yang lalu. Kini sudah hampir 2 minggu melepasi tarikh tamat. Aku tatap kelima-lima buku itu. Kesemuanya tebal-tebal belaka.

‘Jangan beralasan lagi hari ini Syazleen, buku ini harus dipulangkan hari ini juga!’ tekadku pada diri sendiri.
2 minggu yang lepas aku masih lagi Armadale Health Service untuk praktikal tahun akhir farmasi. Setiap hari aku ke sana pukul 8 pagi dan pulang kira-kira pukul 6 petang. Aku tidak punya masa untuk ke universiti, apatah lagi untuk ke perpustakaan. Tambahan pula aku sangat sibuk dengan urusan-urusan praktikal hingga terlepas pandang akan tarikh tamatnya tempoh peminjaman buku-buku itu.

Badan yang letih lesu itu aku gagahkan ke bilik mandi. Air yang sejuk itu ternyata menyegarkan mata yang hampir terpejam. Seusai mandi, aku berteleku sebentar di atas sejadah kelabu pemberian adikku. Pemberiannya buatku sebelum aku terbang menyambung perjuangan menjejak segenggam ijazah di bumi Kanggaru ini, di Perth, Australia Barat.

Sedar tidak sedar sudah 4 tahun aku di tanah ini. Tanah asing yang jauh beribu batu dari tanahairku. Selalu aku terfikir, kekuatan apakah yang menyusup dalam diri untuk membolehkan aku begitu tabah mengharungi segalanya di sini. Namun, setiap kali juga aku tersenyum kerana aku sudah tahu jawapannya. Kerana aku ada Dia yang sentiasa memerhati.

Setelah selesai menunaikan solat maghrib, aku mengemaskan diri. Tudung oren pic aku kenakan sekemasnya. Stoking hitam kusarung buat melindungi kakiku dari kedinginan malam. Tidak lupa baju tebal berwarna hitam buat pemanas badan. Setelah meneliti parasku di cermin, aku menarik nafas lega. Tidak mungkin aku dapat lega jika aku keluar tanpa menutup apa yang perlu ditutup dari pandangan ajnabi. Auratku. Setelah berpuas hati, aku lantas mencapai kunci kereta dan bergegas ke perpustakaan.

Jam 815 malam.

Kereta putih Camry kepunyaan rakan serumahku diparkir di belakang bangunan 305, atau bangunan farmasi. Parkir ini adalah parkir yang paling dekat untuk ke perpustakaan. Polisi di Curtin Universiti, jika mahu meletakkan kenderaan dalam kawasan university, $2 sejam perlu dibayar. Untungnya polisi itu tidak lagi aktif selepas jam 5 petang.

Perpustakaan Curtin ditutup pada jam 10 malam. Namun, tidak ramai kelibat pelajar yang kelihatan di ruang legar perpustakaan. Mungkin kerana musim peperiksaan belum tiba. Jika minggu ini adalah ‘study-free week’ sudah pasti perpustakaan ini penuh dengan manusia meskipun sudah jauh malam. Aku menyusun langkah ke kaunter perpustakaan. Cuma 2 atau 3 orang petugas sahaja yang kelihatan di belakang kaunter itu.

Setiap langkah aku semat dengan kalimah istighfar dan selawat. Buat penguat hati dan penajam fikiran. Sepanjang perjalanan di dalam kereta tadi lagi aku sudah berfikir panjang. Aku perlu positif dan redha  dengan denda yang bakal aku terima. 5 buah buku, 2 minggu terlewat. Memang salah diri sendiri. Aku niatkan denda yang aku bakal terima sebagai pengajaran buat masa akan datang. Semoga Engkau redha ya Allah!

Seorang kakak berambut perang dan berbaju kemeja jalur merah jambu menyambut aku di kaunter. Selepas bertukar senyuman dan ucapan aku mengeluarkan 5 buah buku tersebut. Diantaranya adalah 2 buah buku karangan Miklos Bodanszky, buku yang aku ingin perbaharui tempoh pinjaman kerana ia masih aku gunakan sebagai rujukan untuk projek honours yang masih di peringkat draf itu. Sementara yang lain ingin aku pulangkan.

Setelah mengimbas kod bar di bahagian kulit belakang buku-buku tersebut, si kakak memandang aku dan melepaskan satu keluhan. Aku hairan. Apa terjadi?

“It’s $68” ujar si kakak sambil mengerling kearahku.

‘Gulp’, telingaku menangkap bunyi aku menelan airliur mendengar jumlah denda yang dikenakan. Namun, denda tetap denda bukan. Aku memulangan semula kerlingan si kakak dengan senyuman sambil menarik nafas sedalam-dalamnya.

“I see. Ok then,” ujarku pada si kakak. Pandanganku tepat memandang kearahnya. Tekad dan redha. Mungkin itu aura yang terpancar dari wajahku ketika itu.

“The fine is quite high,” ujar si kakak seakan-akan bersimpati dengan keadaanku. Kerlingannya kini tepat ke wajahku. Tanpa berkelip sekalipun.

"Well, that's ok. I have to pay for it anyway , right?" ujarku sambil melemparkan senyuman semampu yang boleh. Tanganku mula meraba-raba di dalam beg kain yang dibawa bersama. Mencari dompet.

"UNLESS," kata si kakak tiba-tiba. Tanganku berhenti meraba. Aku pandang kakak itu dengan penuh minat.

Unless bermaksud melainkan jika.

‘Melainkan jika apa?’ aku berbicara sendiri. Masa seakan-akan berhenti. Aku berdebar-debar menunggu patah perkataan seterusnya dari kakak pustakawan. Teringat pula aku akan kisah animasi Lorax yang diadaptasi dari novel kanak-kanak karangan Dr Seuss.

"UNLESS there are reasons that prevent you from returning the book on time,"

Ini bermaksud kakak pustakawan memberi ruang kepadaku untuk menjelaskan mengapa aku tidak memulangkan buku pada tarikh yang ditetapkan. Dalam erti kata lain, aku diberi peluang kedua! Allahu allah, seronoknya!

Namun, aku cuba kawal emosiku dengan sebaiknya. Tidak bermakna sebab musabab yang aku kemukakan padanya nanti boleh menjadi justifikasi mengapa aku terlewat memulangkan buku. Lalu dengan tenang aku menyusun kata dan menjelaskan padanya.

Aku ceritakan padanya bahawa 2 minggu lepas aku masih di Armadale Hospital, atas urusan praktikal. Praktikal di jabatan Farmasi Armadale bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada jam 5 petang setiap hari. Armadale merupakan satu pekan kecil yang jauhnya lebih kurang 25km dari universiti. Satu jarak yang agak jauh bagi aku yang tidak mempunyai kereta sendiri. Setiap hari aku menumpang kereta kawanku untuk ke sana. Kebetulan kami ditempatkan di hospital yang sama.

Kakak pustakawan mengangguk-angguk memahami masalahku. Namun, dia tidak dapat berbuat apa-apa. Lalu si kakak memanggil ketua pustakawan yang bertugas malam itu. Aku terkesima dengan tindakannya. Dalam hati aku risau jika isu ini diperbesar-besarkan. Sedangkan aku sudah bersedia untuk membayar $68 jumlah denda yang dikenakan. Aku cuba bertenang. Mungkin Allah ada rancangan buatku.

“You should consult with your school if you are not on campus and unable to return the books,” ujar ketua pustakawan. Wajahnya yang berusia menampakkan garis-garis kedut di sekitar matanya. Namun demikian, nada suaranya masih tegas ketika berbicara denganku.

“I am so sorry. I do not know that we can do that,” ujarku jujur. Sememangnya aku tidak tahu bahawa kami boleh dikecualikan dalam situasi sebegini.

Ketua pustakawan seterusnya menjelaskan padaku prosedur-prosedur yang boleh diambil sekiranya kita tidak dapat memulangkan buku pada tempoh yang ditetapkan.  Aku mengangguk-angguk penuh minat.

‘Mereka sangat berbudi bahasa’ bisikku di dalam hati. Aku membayangkan satu syarahan panjang yang penuh dengan kata-kata sinis lagi tajam untuk menghujani diriku atas kesalahan yang telah aku lakukan. Tapi sebaliknya aku dilimpahi dengan kata-kata semangat yang prihatin denganku dan sedang cuba memastikan aku tidak mengulangi kesalahan buat kali kedua.

Sebait ayat Allah dari surah arrahman ayat 13 berputar dalam mindaku.

"Nikmat TuhanMu yang manakah yang ingin kamu dustakan?"

"You know what, I think I can reduce the fine by half, to $34"

Nafasku terhenti. Mataku tidak berkelip memandang ketua pustakawan itu. Allah, aku tak salah dengar ke ni?

“Make sure you keep this in mind. Please do not repeat the same mistake,” tambahnya lagi. Aku mengangguk laju. Nampaknya aku tidak tersalah dengar. Alhamdulillah!!!

“Thank you. Thank you. Thank you very much Maam. I will always remember this!” ujarku padanya.

"I think you are lucky tonight, we do not usually reduce library fine," bisik si kakak pustakawan setelah ketuanya berlalu pergi. Aku tersenyum mendengarkannya.

‘Luck? Tuah? Bukan. Ini bukan tuah, inilah perancangan Allah yang telah tertulis buatku,’

Aku tatap resit itu. Jumlah yang dahulunya $68 kini telah berkurang pada $34. Darah merah menyerbu ke wajahku. Mataku terasa hangat. Aku berasa malu sekali. Malu dengan pertolongan yang tidak disangka-sangka ini. BantuanNya masih lagi hadir buatku. Insan yang terkadang masih lagi lalai dan beralasan denganNya.

"Alhamdulillah"

Senyum. Senyuman syukur dan redha seorang hamba. Ternyata begitu banyak cara Allah akan menguji kita. Terpulang pada kitalah untuk memandangnya sebagai sesuatu yang positif atau sebaliknya.

Semakin aku menghampiri hari-hari terakhirku di bumi Perth ini, semakin banyak pengajaran yang Dia kirimkan buatku.

“Ya Allah, semoga bantulah aku untuk sabar dan redha bila diuji, dan syukur bila diberi nikmat, Aamiin, insya Allah. Alhamdulillah,”


Fastabiqul khairat~

No comments:

Post a Comment