Nukilanku satu masa dulu. Moga mampu beri saham buatku di akhirat kelak...
[Based on a true story] :)
Bismillahirrahmanirrahim
--------------------------------------------------------------------------
4.45 petang. Sudah kesekian kalinya pandanganku jatuh pada
jarum jam di dinding makmal pharmaceutics ataupun ‘super lab’ itu. Letih. Ya,
aku sudah keletihan dengan kelas hari ini. Tambahan pula hari ini merupakan
hari cuti am di Perth, maka aku terpaksa berjalan dari rumahku untuk ke
universiti. Perjalanan yang selalunya mengambil masa selama 7 minit dengan bas
menjadi setengah jam. Allah, berikan aku kekuatan!
“I guess all of you here really wish to end this class
early,” bicara Andrew, si tutor, sambil tersengih melihat wajah-wajah kami yang
jelas kelihatan tersiksa dengan saat-saat terakhir.
“Yessss!” balas beberapa orang rakan sekelasku dengan nada
mendatar. Kami semua tertawa. Ternyata bukan aku seorang sahaja yang keletihan
hari ini.
“Okay, I guess, that’s all for today!” ujar Andrew sambil
tersenyum. Kelas yang senyap sunyi bertukar menjadi hingar dengan sekelip mata.
Yang tadinya hampir terlelap telah kembali segar, yang tadinya diam seribu
bahasa kini riuh dengan kisahnya. Ajaib. Adakah ini cuma berlaku di sini? Magis
apakah ini? Aku tersenyum sendiri.
Indah sungguh perancangan ilahi, aku dihantar pulang oleh
seorang sahabat, Xin Li. Maka tidak perlulah aku berjalan kaki untuk pulang.
Pertemuan dengan Xin Li juga tidak disangka-sangka.
“Here it is Syazleen, I don’t want to throw any religious
thing away. It’s not appropriate,” ujar Xin Li sambil menunjukkan padaku
sekeping kad tersisip kemas di bahagian cermin di atas tempat duduk pemandu.
Xin Li, sahabatku dari Malaysia. Kebetulan dia baru sahaja
membeli kereta dari seorang lelaki muslim. Namun, lelaki tersebut telah
meninggalkan sesuatu dengan tulisan-tulisan yang tidak difahami Xin Li. Syukur
kerana Xin Li tidak berniat untuk membuang tulisan itu, sebaliknya meminta aku
untuk menyimpannya. Ianya ternyata sebuah kad kecil, tertulis kalimah-kalimah
yang sangat-sangat aku kenali.
Asmaul husna.
“What is that Syazleen? Do you understand what it says?”
ujar Xin Li ingin tahu.
“Well, do you know that we muslims call our god Allah?” Xin
Li mengangguk.
“In Islam, we also have 99 different names with 99 different
meaning to address Him and some of the names are written on this card,”
“Oh, I don’t know that. Lucky I did not throw it away,”
“Thank you Xin Li,” ujarku ikhlas sambil melemparkan
senyuman buatnya. Aku tatap kad kecil itu. Ralit aku sebentar dengan tulisan di
atasnya. Unik.
‘Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Razzaq,’ tuturku sendirian di dalam
hati. Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang , Maha Pemberi Rezqi.
_______________________________________________________
“Assalamualaikum,” ujarku seraya membuka pintu bilikku.
Sudah menjadi kebiasaan, aku selalu memberi salam sebelum memasuki bilik
meskipun kutahu tiada siapa di dalamnya. Kad kecil pemberian Xin Li ku sisipkan
di cermin solek. Tanpa berfikir dua kali aku lontarkan badanku yang keletihan
di atas katil yang empuk lagi sejuk itu. Alhamdulillah. Bahagia. Aku memejamkan
mata, meskipun badanku sedang berehat namun mindaku masih bergerak laju.
Merancang aktiviti pada malam ini. Perlu siapkan Powerpoint untuk pembentangan
hari Khamis nanti, perlu masak makan malam, perlu muat turun nota-nota dari ‘Blackboard’
dan…
Mataku yang terpejam kini kembali terbuka luas. Aku bingkas
dari keempukan selimut dan katil dan mencari 5 buah buku itu. Ya. 5 buah buku!
‘Ya Allah, aku terlupa!’ jeritku kecil.
5 buah buku yang kupinjam dari perpustakaan sebulan yang
lalu. Kini sudah hampir 2 minggu melepasi tarikh tamat. Aku tatap kelima-lima
buku itu. Kesemuanya tebal-tebal belaka.
‘Jangan beralasan lagi hari ini Syazleen, buku ini harus
dipulangkan hari ini juga!’ tekadku pada diri sendiri.
2 minggu yang lepas aku masih lagi Armadale Health Service
untuk praktikal tahun akhir farmasi. Setiap hari aku ke sana pukul 8 pagi dan
pulang kira-kira pukul 6 petang. Aku tidak punya masa untuk ke universiti,
apatah lagi untuk ke perpustakaan. Tambahan pula aku sangat sibuk dengan
urusan-urusan praktikal hingga terlepas pandang akan tarikh tamatnya tempoh
peminjaman buku-buku itu.
Badan yang letih lesu itu aku gagahkan ke bilik mandi. Air
yang sejuk itu ternyata menyegarkan mata yang hampir terpejam. Seusai mandi,
aku berteleku sebentar di atas sejadah kelabu pemberian adikku. Pemberiannya
buatku sebelum aku terbang menyambung perjuangan menjejak segenggam ijazah di
bumi Kanggaru ini, di Perth, Australia Barat.
Sedar tidak sedar sudah 4 tahun aku di tanah ini. Tanah
asing yang jauh beribu batu dari tanahairku. Selalu aku terfikir, kekuatan
apakah yang menyusup dalam diri untuk membolehkan aku begitu tabah mengharungi
segalanya di sini. Namun, setiap kali juga aku tersenyum kerana aku sudah tahu
jawapannya. Kerana aku ada Dia yang sentiasa memerhati.
Setelah selesai menunaikan solat maghrib, aku mengemaskan
diri. Tudung oren pic aku kenakan sekemasnya. Stoking hitam kusarung buat
melindungi kakiku dari kedinginan malam. Tidak lupa baju tebal berwarna hitam
buat pemanas badan. Setelah meneliti parasku di cermin, aku menarik nafas lega.
Tidak mungkin aku dapat lega jika aku keluar tanpa menutup apa yang perlu ditutup
dari pandangan ajnabi. Auratku. Setelah berpuas hati, aku lantas mencapai kunci
kereta dan bergegas ke perpustakaan.
Jam 815 malam.
Kereta putih Camry kepunyaan rakan serumahku diparkir di
belakang bangunan 305, atau bangunan farmasi. Parkir ini adalah parkir yang
paling dekat untuk ke perpustakaan. Polisi di Curtin Universiti, jika mahu
meletakkan kenderaan dalam kawasan university, $2 sejam perlu dibayar.
Untungnya polisi itu tidak lagi aktif selepas jam 5 petang.
Perpustakaan Curtin ditutup pada jam 10 malam. Namun, tidak
ramai kelibat pelajar yang kelihatan di ruang legar perpustakaan. Mungkin
kerana musim peperiksaan belum tiba. Jika minggu ini adalah ‘study-free week’
sudah pasti perpustakaan ini penuh dengan manusia meskipun sudah jauh malam.
Aku menyusun langkah ke kaunter perpustakaan. Cuma 2 atau 3 orang petugas
sahaja yang kelihatan di belakang kaunter itu.
Setiap langkah aku semat dengan kalimah istighfar dan
selawat. Buat penguat hati dan penajam fikiran. Sepanjang perjalanan di dalam
kereta tadi lagi aku sudah berfikir panjang. Aku perlu positif dan redha dengan denda yang bakal aku terima. 5 buah
buku, 2 minggu terlewat. Memang salah diri sendiri. Aku niatkan denda yang aku
bakal terima sebagai pengajaran buat masa akan datang. Semoga Engkau redha ya
Allah!
Seorang kakak berambut perang dan berbaju kemeja jalur merah
jambu menyambut aku di kaunter. Selepas bertukar senyuman dan ucapan aku
mengeluarkan 5 buah buku tersebut. Diantaranya adalah 2 buah buku karangan
Miklos Bodanszky, buku yang aku ingin perbaharui tempoh pinjaman kerana ia
masih aku gunakan sebagai rujukan untuk projek honours yang masih di peringkat
draf itu. Sementara yang lain ingin aku pulangkan.
Setelah mengimbas kod bar di bahagian kulit belakang
buku-buku tersebut, si kakak memandang aku dan melepaskan satu keluhan. Aku
hairan. Apa terjadi?
“It’s $68” ujar si kakak sambil mengerling kearahku.
‘Gulp’, telingaku menangkap bunyi aku menelan airliur
mendengar jumlah denda yang dikenakan. Namun, denda tetap denda bukan. Aku
memulangan semula kerlingan si kakak dengan senyuman sambil menarik nafas
sedalam-dalamnya.
“I see. Ok then,” ujarku pada si kakak. Pandanganku tepat
memandang kearahnya. Tekad dan redha. Mungkin itu aura yang terpancar dari
wajahku ketika itu.
“The fine is quite high,” ujar si kakak seakan-akan
bersimpati dengan keadaanku. Kerlingannya kini tepat ke wajahku. Tanpa berkelip
sekalipun.
"Well, that's ok. I have to pay for it anyway ,
right?" ujarku sambil melemparkan senyuman semampu yang boleh. Tanganku
mula meraba-raba di dalam beg kain yang dibawa bersama. Mencari dompet.
"UNLESS," kata si kakak tiba-tiba. Tanganku
berhenti meraba. Aku pandang kakak itu dengan penuh minat.
Unless bermaksud melainkan jika.
‘Melainkan jika apa?’ aku berbicara sendiri. Masa
seakan-akan berhenti. Aku berdebar-debar menunggu patah perkataan seterusnya
dari kakak pustakawan. Teringat pula aku akan kisah animasi Lorax yang
diadaptasi dari novel kanak-kanak karangan Dr Seuss.
"UNLESS there are reasons that prevent you from returning
the book on time,"
Ini bermaksud kakak pustakawan memberi ruang kepadaku untuk
menjelaskan mengapa aku tidak memulangkan buku pada tarikh yang ditetapkan.
Dalam erti kata lain, aku diberi peluang kedua! Allahu allah, seronoknya!
Namun, aku cuba kawal emosiku dengan sebaiknya. Tidak
bermakna sebab musabab yang aku kemukakan padanya nanti boleh menjadi
justifikasi mengapa aku terlewat memulangkan buku. Lalu dengan tenang aku
menyusun kata dan menjelaskan padanya.
Aku ceritakan padanya bahawa 2 minggu lepas aku masih di
Armadale Hospital, atas urusan praktikal. Praktikal di jabatan Farmasi Armadale
bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada jam 5 petang setiap hari. Armadale
merupakan satu pekan kecil yang jauhnya lebih kurang 25km dari universiti. Satu
jarak yang agak jauh bagi aku yang tidak mempunyai kereta sendiri. Setiap hari
aku menumpang kereta kawanku untuk ke sana. Kebetulan kami ditempatkan di
hospital yang sama.
Kakak pustakawan mengangguk-angguk memahami masalahku.
Namun, dia tidak dapat berbuat apa-apa. Lalu si kakak memanggil ketua
pustakawan yang bertugas malam itu. Aku terkesima dengan tindakannya. Dalam
hati aku risau jika isu ini diperbesar-besarkan. Sedangkan aku sudah bersedia
untuk membayar $68 jumlah denda yang dikenakan. Aku cuba bertenang. Mungkin
Allah ada rancangan buatku.
“You should consult with your school if you are not on
campus and unable to return the books,” ujar ketua pustakawan. Wajahnya yang
berusia menampakkan garis-garis kedut di sekitar matanya. Namun demikian, nada
suaranya masih tegas ketika berbicara denganku.
“I am so sorry. I do not know that we can do that,” ujarku
jujur. Sememangnya aku tidak tahu bahawa kami boleh dikecualikan dalam situasi
sebegini.
Ketua pustakawan seterusnya menjelaskan padaku
prosedur-prosedur yang boleh diambil sekiranya kita tidak dapat memulangkan
buku pada tempoh yang ditetapkan. Aku
mengangguk-angguk penuh minat.
‘Mereka sangat berbudi bahasa’ bisikku di dalam hati. Aku
membayangkan satu syarahan panjang yang penuh dengan kata-kata sinis lagi tajam
untuk menghujani diriku atas kesalahan yang telah aku lakukan. Tapi sebaliknya
aku dilimpahi dengan kata-kata semangat yang prihatin denganku dan sedang cuba
memastikan aku tidak mengulangi kesalahan buat kali kedua.
Sebait ayat Allah dari surah arrahman ayat 13 berputar dalam
mindaku.
"Nikmat TuhanMu yang manakah yang ingin kamu dustakan?"
"You know what, I think I can reduce the fine by half,
to $34"
Nafasku terhenti. Mataku tidak berkelip memandang ketua
pustakawan itu. Allah, aku tak salah dengar ke ni?
“Make sure you keep this in mind. Please do not repeat the
same mistake,” tambahnya lagi. Aku mengangguk laju. Nampaknya aku tidak
tersalah dengar. Alhamdulillah!!!
“Thank you. Thank you. Thank you very much Maam. I will
always remember this!” ujarku padanya.
"I think you are lucky tonight, we do not usually
reduce library fine," bisik si kakak pustakawan setelah ketuanya berlalu
pergi. Aku tersenyum mendengarkannya.
‘Luck? Tuah? Bukan. Ini bukan tuah, inilah perancangan Allah
yang telah tertulis buatku,’
Aku tatap resit itu. Jumlah yang dahulunya $68 kini telah
berkurang pada $34. Darah merah menyerbu ke wajahku. Mataku terasa hangat. Aku
berasa malu sekali. Malu dengan pertolongan yang tidak disangka-sangka ini.
BantuanNya masih lagi hadir buatku. Insan yang terkadang masih lagi lalai dan
beralasan denganNya.
"Alhamdulillah"
Senyum. Senyuman syukur dan redha seorang hamba. Ternyata
begitu banyak cara Allah akan menguji kita. Terpulang pada kitalah untuk
memandangnya sebagai sesuatu yang positif atau sebaliknya.
Semakin aku menghampiri hari-hari terakhirku di bumi Perth
ini, semakin banyak pengajaran yang Dia kirimkan buatku.
“Ya Allah, semoga bantulah aku untuk sabar dan redha bila
diuji, dan syukur bila diberi nikmat, Aamiin, insya Allah. Alhamdulillah,”
Fastabiqul khairat~