Monday, June 20, 2011

Sambutlah tanganku.

Assalamualaikum wbt,

Berikut adalah sambungan dari nukilan saya, Biar sampai syurga. Tujuan asal nukilan ini tercipta adalah demi mengajak semua insan sama2 kasih dan sayang pada baginda, dan pastinya niat itu tidak berubah hingga ke hari ini. Namun, dalam diam, saya tahu diri ini banyak kekurangan. Mohon mereka yang sudi menegur, tegurlah saya. dan saya sebagai insan yg ditegur insya Allah cuba sedaya upaya untuk tidak melatah.

Kusandarkan semuanya pada ilahi. Ayuhlah. Sambutlah tanganku. Ayuh kita bersama. Biar sampai syurga.

Satu senyuman manis dan segar dilemparkan dari susuk wajah itu.

“Akulah Ansar yang tidak akan meninggalkan muhajirinnya walau ke mana sahaja dia pergi,”

“Andai Muhajirin ini sesat dan tidak dapat mencari jalan pulang?”

“Ansari tak akan benarkan itu berlaku. Jika benar sahabat, biarlah sampai ke syurga,”

“Wah, jiwangnya Cik Nur Ansari ni,” ketawa kecil pecah sesama mereka.

“Saffiyatul Muhajireen pun sama juga kan? Sudikah kamu menjadi saudaraku?” ujar Ansari ceria sambil menghulurkan tangan. Hampir sahaja huluran itu disambut namun alunan muzik hingar mematikan suasana.

Irene menjegilkan mata. Argh! Mimpi itu bertandang lagi! Alarm telefon bimbit dimatikan. Irene menghela nafas sambil memandang siling yang putih bersih. Huluran tangan itu, ketawa itu dan tidak dilupakan janji itu. Wajah Irene bertukar rasa, dari perasaan rindu, amarah pula yang bergelora.

‘Jauhkan diri dari aku!’ jerit Irene di dalam hati. Bantal dan selimut dilempar ke dinding. Nyata, hari ini bakal jadi satu hari yang malang!

Aku mengatur langkah ke musolla. Meskipun jauh aku tak kira. Aku tamakkan jaminan pahala Tuhanku kepada sesiapa yang melangkah ke rumahNya. Allah, sudah hampir 12.30 tengahari! Aku tak mahu terlepas jemaah! Dalam mempercepatkan langkah, aku tak pernah jemu menghayati dedaunan gugur di sepanjang laluan ke musolla ini. Peluang menuntut di negara orang ini bukan kebetulan, tapi rancangan Allah jua. Akan kumanfaatkan peluang ini demi jalanMu insya Allah.

Aku menggeleng cuma tatkala melihat sekumpulan manusia sedang bergelak ketawa, bertepuk tampar memegang tin-tin di tangan yang tidak lain minuman yang diharamkan itu. Na’udzubillah min zalik. Jauhkanlah aku dan sahabat-sahabatku dari minuman itu ya Allah. Namun, langkah terhenti, mata membulat tatkala tepandang satu situasi.

“Here, have some Irene. Come on, one sip. Just a little bit,” rayu seorang jejaka tinggi lampai berambut merah.

“Naa, you know I can’t Dash,” kerling Irene sambil memandang sekilas pada Dash.

“One sip, just one. I promise I’ll buy you that Billabong handbag you wanted so much,” Dash menduga. Dia tahu benar kesukaan gadis itu.

“Are you drunk? Are you even serious??” Irene separa menjerit. Tin itu direnungnya dalam-dalam. Alah, seteguk cuma. Siapa yang kisah? Tangannya dipanjangkan untuk menyambut tin itu.

“DANG!”

Hilai tawa manusia hilang. Sepi. Mata-mata kini tertumpu di satu sudut bangunan. Satu tin beer kini terhambur isinya ke tanah. Seorang gadis bertutup kepalanya berada di tengah-tengah kelompok manusia itu.

“Selagi adanya Ansari di sini, jangan kau berani nak pegang air syaitan itu Muhajireen!” suaraku meninggi.

Irene terkesima. Dash apatah lagi. Langkahnya terundur setapak ke belakang.

“Mr. Dash, can you please kindly do not drag this friend of mine into what you are doing right now. I won’t tolerate if our dignity as muslims is at stake. Sorry to say, but I am firm with my stance,” mataku tajam memandang kearah Dash. Dash kelu tidak terkata. Aku harus berani menghadapinya. Sedangkan Rasulullah berani menghadapi masyarakat kafir Quraisy yang lebih dahsyat dari ini, aku juga harus cuba!

“Irene, who is this? Nevermind. I’ll get going now,” rengus Dash sambil mengisyaratkan rakan-rakannya yang lain untuk berlalu meninggalkan Irene.

“What? Hey come on guys. Guys! Dash!” biar sekuat mana Irene memanggil, mereka terus berlalu. Kedengaran kata-kata kesat yang terkumat kamit daripada bibir masing-masing. Irene menahan amarah. Perempuan ni!

“Hei, puas hati kau halau kawan-kawan aku? Seronok tengok aku sorang-sorang lepas ni? Kau ni dengki kenapa?”Irene menghamburkan amarahnya.

Untukmu agamamu, dan untukku, agamaku," tenang aku menyampaikan ayat ini. Irene terdiam.

“Saya percaya awak tahu ayat ini dan juga kisah disebaliknya,” sambungku kembali. Irene tersentap. Surah Al-Kafiruun.

“Maaf tadi terkasar bahasa dengan awak. Awak kenal saya bukan? Tak mungkin saya gembira melihat awak keseorangan. Tapi itu lebih baik daripada biarkan awak bergelumang dengan dosa,” melihat Irene diam aku bersyukur. Diam itu tandanya berfikir. Semoga kau sedar sahabatku.

“Jom ke musolla,” aku menghulurkan tangan. Hatiku sebak tiba-tiba. Semoga kali ini huluranku disambut.

Irene memandang huluran tangan dan wajah itu. Wajah itu masih sama seperti dalam mimpinya, auranya juga tetap bercahaya. Cuma kali ini tubir matanya digenangi air. Meskipun ditahan, tak mampu disembunyikan.

‘Kalau kau tak suka lihat aku sendirian, kenapa kau tinggalkan aku dahulu?,’ monolog Irene di dalam hati sambil berlalu meninggalkan Ansari. Dan tangan itu akhirnya menyeka air di matanya.

TBC...

FastaBiQuL Khairat